Monday 18 January 2016

pernahkah engkau hilang dirimu?
kerana fikiranmu begitu celaru
tentang arah mana hendak dituju
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau hilang akalmu?
kerana mahukan gembira sementara itu
bila dunia padamu tidak menentu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau sudah lagi tidak mahu?
untuk bangkit dari tidur lenamu
kerana dunia ini bagai bukan untukmu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau mahukan mati itu?
kerana padamu tiada apa lagi disini untukmu
segalanya tiada lagi makna buatmu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau dibelenggu nafsu serakahmu?
kerana bagimu nafsu itu sebati denganmu
fikiran tidak pernah lagi menentu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau dikelilingi kawan baikmu?
walau kau tahu itu bukan lagi yang kau mahu
tewas dengan segala pujuk dan rayu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau menidakkan Tuhanmu?
kerana membiarkanmu berduka selalu
padahal engkau yang tuan dirimu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau hilang sesuatu?
yang engkau sendiri pun tidak tahu
apakah yang hilang dari dirimu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau letakkan kau pada aku?
bukan aku tidak mahukan aku yang dulu
tetapi aku sudah hilang semangatku
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau fikirkan cara tamatkan riwayatmu?
kerana engkau sudah lagi tidak tahu
apa makna sebuah kehidupan itu
lantas aku tembak dulu satu

pernahkah engkau rasai kemurungan itu?
bila padamu dunia ini membencimu
setiap pandangan mencaci maki dirimu
lantas aku tembak dulu satu






No comments:

Post a Comment